Jom Sertai Kempen Dana Al-Fateh!

PEPERIKSAAN SPM 2025: LANGKAH KEJAYAAN BAGI 13 CALON MAAHAD TAHFIZ AL-FATEH

2 Januari 2025: Menjadi detik bersejarah buat 13 orang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh  menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertulis bersama semua calon di seluruh negara. Sebagai sebuah institusi yang mengutamakan pendidikan dan tarbiyah, Maahad Tahfiz Al-Fateh turut menyertai perjalanan penting ini dengan penuh doa dan harapan bagi kejayaan pelajarnya. Kejayaan ini bukan hanya diukur dengan keputusan peperiksaan, tetapi juga proses pendidikan yang menggabungkan ilmu dunia dan akhirat.

Al-Fadhil Ustaz Ahmad Lutfi bin Paridin, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Fateh, mengambil langkah penuh bermakna dengan menghantar sendiri calon-calon SPM Al-Fateh ke pusat peperiksaan. Dalam pertemuan tersebut, Ustaz Ahmad Lutfi berpesan kepada para pelajar, “Kejayaan bukan hanya diukur dengan natijah peperiksaan, tetapi juga pada proses membentuk diri menjadi insan yang tawaduk dan sentiasa bertawakal kepada Allah.” Beliau juga mengingatkan para pelajar dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69: “Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh di jalan Kami, pasti Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” Pesan ini diharap dapat memberi kekuatan kepada calon-calon untuk terus berusaha dengan penuh keyakinan dan tawakal.

Program Fast Track SPM Huffaz di Maahad Tahfiz Al-Fateh merupakan satu usaha yang dijalankan atas saranan Dato’ Menteri Besar Selangor. Tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan ruang bagi murid-murid institusi tahfiz persendirian/swasta di negeri Selangor untuk menduduki peperiksaan SPM. Subjek SPM dipelajari oleh pelajar tingkatan 4 & 5 secara Fast Track dalam tempoh dua tahun. Pelajar tingkatan 4 mempelajari subjek SPM secara separuh masa pada sesi petang, manakala pelajar tingkatan 5 mempelajari subjek SPM sepanjang hari. Ini membolehkan para pelajar mengimbangi antara pengajian akademik dan hafazan mereka.

Pelaksanaan program Fast Track ini bukan sahaja memastikan pendidikan kurikulum Al-Fateh kekal relevan dan seiring dengan kurikulum kebangsaan, tetapi juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang seimbang dalam hafazan, akademik, serta mempunyai pengetahuan akademik moden. Program ini juga membuka peluang bagi pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

Di antara mata pelajaran teras yang dipelajari oleh pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh dalam program ini adalah Bahasa Melayu, Bahasa Arab, English, Sejarah, Matematik, Sains, Pendidikan Qur’an dan Sunnah (PQS), serta Pendidikan Syariah Islamiyah (PSI). Kesemua mata pelajaran ini dirancang dengan teliti untuk memastikan pelajar-pelajar tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam aspek spiritual dan peribadi.

Semoga setiap langkah yang dilalui oleh calon-calon SPM ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Maahad Tahfiz Al-Fateh percaya bahawa ilmu yang dipelajari dan usaha yang dicurahkan akan menjadi saksi di hadapan-Nya kelak. Dengan doa dan usaha berterusan, kami berharap agar para pelajar ini memperoleh keputusan yang cemerlang dan dapat melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dalam kehidupan mereka, baik dalam bidang akademik mahupun kerohanian.

Scroll to Top