Jom Sertai Kempen Dana Al-Fateh!

MAAHAD TAHFIZ AL-FATEH DIIKTIRAF SEBAGAI PENDAFTARAN KEKAL AMIL LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

22 November 2024: Maahad Tahfiz Al-Fateh mencatatkan satu lagi kejayaan penting apabila Pengurus Maahad, Ustaz Mohamad Azzam Anwar bin Mohamad Mathurudi, secara rasmi menurunkan tandatangan pada dokumen kerjasama bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS). Sesi tandatangan ini turut disaksikan oleh Tuan Fadzli Ikhwan bin Mohamed, Eksekutif Kanan Jabatan Pentadbiran & Sokongan LZS, dan beberapa wakil daripada kedua-dua pihak.

Dalam ucapan ringkasnya, Ustaz Azzam berkata, “Kami berasa sangat bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Ini adalah amanah besar yang kami pikul dengan penuh rasa tanggungjawab. Kami bertekad untuk memastikan setiap sen zakat yang diamanahkan kepada kami sampai kepada yang berhak.”

Dengan pendaftaran kekal ini, Maahad Tahfiz Al-Fateh kini secara rasmi menjadi salah satu amil zakat yang dipercayai dan sah di bawah Lembaga Zakat Selangor. Pengiktirafan ini bukan sahaja menunjukkan kredibiliti Maahad dalam pengurusan dana zakat, tetapi juga menjadi simbol komitmen mereka untuk menyebarkan manfaat kepada lebih ramai golongan asnaf dan memartabatkan pendidikan Al-Quran.

Pihak Lembaga Zakat Selangor yang turut hadir pada sesi tersebut, seperti Puan Norlia binti Mohd Jamin dan Puan Masliza, memberikan sokongan penuh terhadap usaha ALFATEH dalam memastikan zakat yang diterima disalurkan dengan telus dan tepat kepada mereka yang memerlukan. Puan Norlia menyatakan, “Kami sangat mengalu-alukan kerjasama ini dan berharap lebih banyak pihak akan menyertai usaha mulia ini.”

Sebagai rakan strategik, Maahad Tahfiz Al-Fateh komited untuk terus memanfaatkan dana zakat bagi menyokong pendidikan pelajar serta membangunkan komuniti melalui pelbagai program dan inisiatif yang memberi impak langsung kepada masyarakat. Semoga kerjasama ini dapat memperkasa usaha pendidikan dan pembangunan ummah secara berterusan.Sebagai langkah mudah untuk menunaikan zakat, kami menjemput anda semua untuk melakukannya melalui platform zakatmalaysia.com. Setiap sen zakat yang anda tunaikan akan disalurkan untuk membangunkan lebih ramai generasi Huffaz yang berpengetahuan dan berakhlak mulia, serta untuk memperkasakan lagi pembangunan pendidikan dan masyarakat.

Scroll to Top