16 November 2024: Seramai 40 pelajar dan 6 murabbi Maahad Tahfiz Al-Fateh telah menyertai Program Kembara Ilmu & Sejarah ke bumi Kedah Darul Aman. Program ini bertujuan untuk mendidik pelajar mengenai sejarah perjuangan tokoh-tokoh tanah air, menghayati semangat pahlawan Melayu-Islam, serta memupuk cita-cita dalam mengembalikan kegemilangan tamadun berlandaskan Malaysia Unggul 2040.
Program 3 hari 2 malam ini bermula dengan lawatan ke Tapak Arkeologi Sungai Batu, salah satu tapak tamadun tertua di Asia Tenggara. Pelajar diberi peluang menyertai aktiviti eksplorasi dan pembentangan sejarah mengenai zaman kegemilangan kerajaan Kedah Tua. Tidak hanya melihat, mereka juga diajar untuk merenung betapa besarnya sejarah yang membentuk tamadun hari ini. Rombongan seterusnya menuju ke Maqam Sultan Muzafar Shah untuk mengenang perjuangan sultan pertama yang membawa Islam ke Kedah, diikuti dengan pembentangan tentang pentingnya Islam sebagai asas tamadun Melayu.
Hari kedua diteruskan dengan lawatan ke Lembah Bujang, sebuah lokasi yang kaya dengan warisan sejarah Melayu-Islam. Melalui pembentangan interaktif bersama murabbi, pelajar lebih mendalami kepentingan menjaga warisan dan sejarah bangsa, selain mendapat pendedahan yang lebih mendalam mengenai kepentingan menjaga agama dan budaya dalam kehidupan.
Selepas hari yang penuh pengisian, peserta berehat di Damai Park Resort, Lembah Bujang, dengan aktiviti santai seperti mandi kolam dan sesi ukhwah yang mengeratkan hubungan antara pelajar dan murabbi. Aktiviti ini memberikan peluang kepada peserta untuk berinteraksi dalam suasana santai sambil mengeratkan silaturahim di kalangan mereka.
Di hari terakhir, perkongsian inspirasi bersama Encik Lutfi, seorang tokoh masyarakat Kedah yang berpengalaman dalam kerja kemasyarakatan dan dakwah, memberi motivasi kepada pelajar untuk terus membawa nilai Islam dalam kehidupan mereka. Program ini diakhiri dengan makan tengah hari di Pak Mat Western sebelum rombongan pulang ke Batang Kali, membawa pulang kenangan serta semangat untuk terus berbakti kepada agama, bangsa, dan negara.
Uniknya di Maahad Tahfiz Al-Fateh, pelajar tidak hanya diajar dalam aspek akademik tetapi juga dibentuk dalam rohani dan dakwah. Dengan aktiviti seperti Usrah Mingguan, Kuliah Mingguan, Daurah Bulanan, Mabit Berkala, dan Perkemahan Tahunan, ALFATEH terus memberi ruang kepada pelajar untuk berkembang menjadi individu yang berkualiti, baik dari segi ilmu agama mahupun keperibadian.