15 November 2024: Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, Maahad Tahfiz Al-Fateh (ALFATEH) dengan rasa penuh bangga dan kesyukuran mengumumkan bahawa Muhammad Ajmal Syakirin bin Mohd Johari telah berjaya mengkhatamkan hafazan Al-Quran 30 juzuk pada hari Jumaat yang penuh barakah ini, 15 November 2024. Pada jam 12.00 tengahari tadi, beliau berjaya menyelesaikan hafazan Al-Quran tersebut di hadapan guru kelas beliau, Ustaz Miqdad bin Fadzlan Syahidi. Detik tersebut turut disaksikan oleh seluruh pelajar, guru-guru, dan kakitangan ALFATEH yang turut serta dalam meraikan kejayaan ini.
Ustaz Miqdad yang telah mendidik dan membimbing Ajmal sepanjang perjalanan hafazannya menyatakan, “Saya sangat bangga dengan pencapaian Ajmal. Kejayaan ini adalah hasil dari usaha gigih beliau dan doa yang tidak putus-putus dari ibu bapa dan guru-guru. Perjalanan menghafaz Al-Quran bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan ketabahan dan keikhlasan, akhirnya beliau berjaya mengharunginya. Semoga hafazan beliau menjadi syafaat di dunia dan akhirat.”
Pencapaian ini bukan sahaja menjadi detik yang berharga buat Muhammad Ajmal, tetapi juga mencatat sejarah penting bagi ALFATEH kerana beliau merupakan pelajar ke-15 yang berjaya khatam Al-Quran 30 juzuk sejak ALFATEH beroperasi. Beliau yang telah menghafaz Al-Quran selama hampir empat tahun ini, kini berjaya menamatkan hafazan tersebut dengan penuh kesabaran dan komitmen yang tinggi. Perjalanan beliau tidak selalu mudah, sering disertai dengan ujian dan cabaran, namun dengan keazaman yang kuat dan doa dari keluarga dan guru, akhirnya beliau berjaya.
Dalam ucapannya, Muhammad Ajmal berkata, “Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya dapat khatam Al-Quran setelah hampir empat tahun. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru, dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Saya berharap agar apa yang saya pelajari ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan diri, keluarga, dan masyarakat.”
Selain berjaya khatam Al-Quran, Ajmal juga merupakan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2025. Semoga dengan adanya Al-Quran di dada, perjalanan beliau dalam menghadapi SPM akan dipermudahkan dan diberkati oleh Allah, serta dianugerahkan kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan ini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada seluruh warga ALFATEH, tetapi juga menjadi contoh ketabahan dan kesungguhan dalam mencapai impian dan cita-cita yang mulia.