Selangor — Ithbat Hafazan Al-Quran merupakan satu proses pengesahan rasmi hafazan Al-Quran yang dilaksanakan melalui temu duga dan penilaian oleh panel bertauliah. Di Selangor, program ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan dilaksanakan setiap tahun.
Penilaian Ithbat Hafazan merangkumi beberapa kategori, dengan Kategori 3 (Hafazan Juzuk 1 hingga 30) sebagai kategori tertinggi, melibatkan bacaan rawak serta penilaian ketepatan, kelancaran dan kestabilan hafazan.
Bagi melayakkan pelajar menyertai Ithbat Hafazan, Maahad Tahfiz Al-Fateh menyusun perjalanan hafazan. Hadif perlu menamatkan hafazan 30 juzuk, dan lulus semua proses penilaian sehingga melepasi Syahadah Ula. Perkara ini penting sebelum mendapat pengesahan guru serta menunjukkan tahap hafazan yang konsisten dan bersedia diuji.
Di Maahad Tahfiz Al-Fateh, pelajar yang melalui proses ini terus dibimbing oleh pihak guru, walaupun mereka sedang mengikuti pengajian akademik di sekolah. Pendekatan ini memastikan hala tuju tahfiz pelajar kekal terarah dan berfokus.
Menurut Ustazah Nadhiroh binti Mohd Asri, Penyelia Hafazan Maahad Tahfiz Al-Fateh, Ithbat Hafazan bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi satu proses pemurnian hafazan.
“Ithbat Hafazan menguji tahap sebenar hafazan pelajar. Ia menilai kestabilan, ketepatan dan disiplin murajaah, bukan sekadar kebolehan membaca. Di Al-Fateh, kami memastikan pelajar hanya ke peringkat ini apabila benar-benar bersedia,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa sokongan guru, ibu bapa dan rakan sekelas sepanjang proses ini amat penting bagi memastikan pelajar kekal tenang, fokus dan berkeyakinan semasa penilaian. Harapan sekolah agar semua pelajar berjaya mengikuti jejak langkah pelajar ini dan melangkah ke peringkat lebih baik selepas ini.
Ikuti kami untuk perkongsian penuh inspirasi: https://www.facebook.com/tahfizalfateh/