Batang Kali, 5 Julai 2025 – Maahad Tahfiz Al-Fateh telah menganjurkan satu lagi bengkel akademik intensif, kali ini memberi tumpuan kepada subjek teras Bahasa Melayu bagi calon-calon SPM 2025. Bengkel ini diadakan di Dewan Utama Maahad Tahfiz Al-Fateh dan disertai oleh 7 orang pelajar yang mengikuti Program Fast Track SPM.
Bengkel ini dikendalikan oleh Cikgu Hasfariza Abdul Hamid, seorang pendidik berpengalaman dengan lebih 22 tahun dalam bidang pengajaran Bahasa Melayu. Beliau merupakan Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa dan mantan Guru Cemerlang Bahasa Melayu yang terkenal dengan sumbangan meluas dalam pembangunan modul PdP, inovasi SPM serta penerbitan buku rujukan popular seperti Modul Klinik Didik SPM dan Full Marks SPM Bahasa Melayu (Sasbadi).
Sepanjang sesi, para pelajar didedahkan dengan teknik menjawab berdasarkan format terkini peperiksaan, pendekatan pemarkahan yang menepati skema LPM, serta kaedah penulisan karangan dan rumusan yang lebih berkesan. Pelajar turut diberi pendedahan kepada kesilapan umum pelajar serta strategi meningkatkan markah dalam bahagian lisan dan penulisan.
Cikgu Anis Nazifa, guru SPM Maahad Tahfiz Al-Fateh yang juga merupakan Guru Penyelaras Bengkel menyatakan, “usaha ini selaras dengan aspirasi institusi untuk melahirkan pelajar huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan, malah mampu bersaing secara kompetitif dalam akademik” – ulas beliau.
Lihat koleksi gambar sepanjang kunjungan di : tiktok.com/@dunia_alfateh