Jom Sertai Kempen Dana Al-Fateh!

JALINAN KERJASAMA AL-FATEH DAN UPSI: LANGKAH KE ARAH PEMBANGUNAN PENDIDIKAN ISLAM BERTERASKAN AL-QURAN DAN TURATH

19 November 2024: Maahad Tahfiz Al-Fateh telah melaksanakan lawatan rasmi ke Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Lawatan yang diketuai oleh Pengetua Maahad Tahfiz Al-Fateh, Ustaz Ahmad Lutfi, bersama Timbalan Pengetua, Ustaz Abdul Mun’im, bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan Islam.

Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara Al-Fateh dan UPSI, serta mendapatkan input berharga mengenai kurikulum dan modul terbaik IPTTI bagi memperkasa sistem pendidikan di Maahad Tahfiz Al-Fateh. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk membincangkan peluang-peluang kolaborasi dalam bentuk program pendidikan tahfiz dan turath yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Perbincangan yang diadakan bersama Pengarah IPTTI, Prof. Dr. Hj. Azmil Hashim, berlangsung dalam suasana yang penuh harmoni dan produktif. Prof. Dr. Azmil, yang terkenal sebagai penggubal dasar tahfiz Malaysia, tidak lokek berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau mengenai pembangunan institusi pendidikan tahfiz dan turath Islami. Antara perkara yang dibincangkan adalah perkongsian panduan dalam pembinaan modul pembelajaran, sesi perkongsian ilmu, serta pelaksanaan program pembangunan pelajar yang lebih terarah dan berkesan.

Kerjasama ini juga membuka peluang untuk kedua-dua institusi menjalankan program dua hala yang lebih meluas pada masa hadapan. Pihak UPSI menyambut baik idea Maahad Tahfiz Al-Fateh untuk terus memperkasa bidang pendidikan tahfiz, sekaligus membangunkan generasi huffaz yang unggul, berilmu, dan bertanggungjawab dalam menyebarkan dakwah dan ilmu Islam di masyarakat.

Dengan kerjasama ini, Maahad Tahfiz Al-Fateh yakin bahawa usaha-usaha pendidikan yang dijalankan dapat mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi. Harapan kami, jalinan ini akan terus berkembang dan membawa kejayaan yang besar, bukan sahaja kepada pelajar Al-Fateh, tetapi juga kepada pembangunan pendidikan Islam secara keseluruhannya. Terima kasih kepada UPSI atas sambutan mesra dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan usaha mulia ini.

Scroll to Top