29 November 2024: Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, Maahad Tahfiz Al-Fateh dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan mengucapkan tahniah kepada Muhammad Hadif bin Muhammad Shamir yang telah berjaya menghabiskan hafazan Al-Quran 30 juzuk. Pada hari Jumaat yang penuh barakah, tepat jam 12.00 tengahari, beliau berjaya khatam Al-Quran bersama guru kelasnya, Ustaz Muhammad bin Mohd Hasan, di hadapan pelajar, guru-guru, dan kakitangan Maahad Tahfiz Al-Fateh.
Kejayaan Hadif merupakan satu pencapaian yang amat bermakna, bukan hanya buat dirinya, tetapi juga untuk keluarga, guru-guru, serta seluruh warga Maahad Tahfiz Al-Fateh. Ini merupakan kejayaan yang ke-16 di kalangan pelajar ALFATEH dalam mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran sejak institusi ini beroperasi hampir tujuh tahun lalu. “Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih yang tidak mudah. Namun, dengan doa dan sokongan yang berterusan daripada ibu bapa serta guru, akhirnya saya berjaya,” ujar Hadif dengan penuh kesyukuran.
Perjalanan Hadif dalam menghafaz Al-Quran memakan masa hampir tiga tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau menghadapi pelbagai cabaran, namun semangat dan kesungguhan beliau untuk mencapai impian mengkhatamkan Al-Quran tidak pernah luntur. Beliau mengakui bahawa usaha keras yang disertai dengan doa dari guru-guru dan ibu bapa menjadi pemangkin semangat dalam meneruskan hafazan, walaupun ujian datang silih berganti.
Ustaz Muhammad bin Mohd Hasan, guru yang membimbing Hadif, turut melahirkan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian tersebut. “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana Hadif telah berjaya menghabiskan hafazannya. Ini adalah hasil kerja keras dan kesabarannya, dan saya berharap ia dapat menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar lain di Maahad Tahfiz Al-Fateh untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang sama,” kata Ustaz Muhammad.
Maahad Tahfiz Al-Fateh berharap kejayaan Muhammad Hadif ini dapat memberi inspirasi dan semangat kepada seluruh pelajar untuk terus menghafal Al-Quran. Semoga lebih ramai pelajar di ALFATEH yang akan mengikuti jejak langkah Hadif, menjadikan Al-Quran bukan sekadar bacaan, tetapi sebagai amalan dan pedoman hidup. Tahniah sekali lagi kepada Muhammad Hadif, dan semoga Allah SWT terus memberi petunjuk dan keberkatan dalam setiap langkah hidupnya.