BATANG KALI, SELANGOR, 11 Januari 2026 – Maahad Tahfiz Al-Fateh telah memulakan Hari Pendaftaran Sesi Akademik 2026 sebagai tanda bermulanya fasa baharu dalam perjalanan pendidikan serta pembinaan kepimpinan generasi huffaz.
Bagi sesi akademik 2026, seramai 30 orang pelajar baharu telah mendaftar untuk mengikuti program pendidikan berteras Tahfiz Kepimpinan yang ditawarkan oleh institusi ini.
Bagi memastikan urusan pendaftaran berjalan lancar dan tersusun, proses ini dilaksanakan secara berperingkat. Jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang diperuntukkan khas untuk sesi pendaftaran serta taklimat ibu bapa dan pelajar baharu. Seterusnya, jam 1.00 petang hingga 4.30 petang, pihak sekolah menerima kehadiran ibu bapa dan pelajar sedia ada.
Persiapan rapi telah dimulakan lebih awal oleh pihak pengurusan dan para guru, melibatkan penyusunan fasiliti, kerja-kerja pembersihan serta persediaan logistik bagi memastikan suasana pendaftaran berlangsung dengan teratur dan selesa.
Hari pendaftaran turut melibatkan urusan dokumentasi, pengukuran pakaian seragam, sesi taklimat serta pertemuan mesra antara ibu bapa dan para guru dalam suasana yang tertib dan mesra keluarga.
Maahad Tahfiz Al-Fateh
Maahad Tahfiz Al-Fateh terletak di Lot 922, Sungai Bertam, Jalan Belakang Pusat Pertanian, 44300 Batang Kali, Selangor. Kompleks bangunan sekolah ini dibina dengan persekitaran yang kondusif dan sesuai untuk pembelajaran berasrama.
Institusi ini mengamalkan sistem pendidikan bersepadu berteras Tahfiz Kepimpinan yang memfokuskan pembinaan 12 susuk tubuh pelajar, merangkumi aspek rohani, intelek, emosi, fizikal dan sahsiah secara menyeluruh.
Seiring dengan fokus ini, pihak sekolah turut menyediakan pelbagai program sokongan yang bersifat pembinaan jati diri dan kepimpinan, termasuk aktiviti sukan sunnah seperti berkuda, memanah, silat Hang Tuah dan berenang. Program-program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada proses tarbiah bagi membentuk pelajar yang berdisiplin, berani, fokus serta berdaya tahan.
Menurut Pengetua Maahad Tahfiz Al-Fateh, Ustaz Ahmad Lutfi, kemasukan pelajar baharu merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Di Al-Fateh, kami mendidik pelajar bukan sekadar menghafaz Al-Quran, tetapi membina disiplin, akhlak dan kepimpinan agar mereka mampu memimpin diri dan masyarakat,” ujar beliau.
Hari Pendaftaran Sesi Akademik 2026 ini menjadi titik permulaan perjalanan para pelajar dalam ekosistem pendidikan Rabbani yang menekankan ilmu, adab dan kepimpinan.
📌 Ikuti perkongsian suasana Hari Pendaftaran Sesi 2026 di TikTok rasmi sekolah:
👉 https://www.tiktok.com/@dunia_alfateh