Jom Sertai Kempen Dana Al-Fateh!

Lebih 20 tetamu wanita dari Halaqah Hurul A’yun bergambar bersama kakitangan dan guru Maahad Tahfiz Al-Fateh dalam kunjungan sokongan terhadap pendidikan tahfiz kepimpinan.

KUNJUNGAN: Kehadiran Halaqah Hurul A’yun ke Al-Fateh, Rehlah Ukhuwah Perkukuh Sokongan Pendidikan Tahfiz Kepimpinan

BATANG KALI, SELANGOR – Maahad Tahfiz Al-Fateh menerima kunjungan istimewa daripada lebih 20 orang tetamu wanita dari kumpulan Halaqah Hurul A’yun (HH’A), Gombak dalam satu program Rehlah Ukhuwah yang berlangsung pada Selasa, 1 Julai 2025.

Rombongan tetamu bertolak menaiki bas dari Pejabat KRT Taman Melewar sekitar jam 9:30 pagi dan disambut dengan penuh mesra oleh pihak Al-Fateh sebaik tiba di kampus maahad di Batang Kali. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil sekolah, diikuti dengan persembahan Silat Hang Tuah oleh pelajar Al-Fateh.

Wakil Halaqah Hurul A’yun turut menyampaikan ucapan serta menyerahkan cenderahati dan sumbangan kepada pihak maahad — suatu tanda keprihatinan dan sokongan terhadap agenda pendidikan Islam bersepadu yang sedang dibangunkan oleh Al-Fateh.

Selesai sesi rasmi, para tetamu dibawa melawat kawasan sekolah termasuk arena kuda, nurseri dan fasiliti utama Al-Fateh, diiringi kakitangan sekolah dan wakil guru. Lawatan disusuli dengan Solat Zohor berjemaah dan diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan sesi ramah mesra.

Program ini merupakan salah satu usaha mengeratkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dan komuniti luar, sejajar dengan visi Al-Fateh dalam membina generasi Tahfiz Kepimpinan.

Para tetamu telah disantuni oleh kakitangan Maahad Tahfiz Al-Fateh yang mewakili Bahagian Pengurusan Sekolah, Kumpulan Kerja Bahagian Dana dan Zakat, serta barisan guru-guru. Kehadiran memperlihatkan komitmen institusi dalam memperkukuh jaringan silaturrahim dan dakwah pendidikan.

“Doa dan kepercayaan kalian adalah antara bahan bakar terpenting dalam perjalanan ini,” ujar wakil pentadbiran Al-Fateh.

Pihak Al-Fateh menzahirkan penghargaan atas segala bentuk sokongan dan sumbangan yang diberikan oleh pihak Halaqah Hurul A’yun. Hubungan strategik seperti ini diharap akan terus menyuburkan kolaborasi antara institusi pendidikan Islam dan masyarakat luar.

Scroll to Top