Selangor, 18 Disember 2025 | Maahad Tahfiz Al-Fateh terus mencatat pencapaian apabila seorang pelajar Tingkatan 4 berjaya menamatkan Syahadah Ula, menjadikan beliau pelajar ke-12 menamatkan penilaian tersebut sepanjang awal penubuhan.
Kisah di Sebalik Pencapaian
Saudara Haryz Irfan bin Wan Azrizul Azad merupakan Pelajar Tingkatan 4 Maahad Tahfiz Al-Fateh yang membesar dalam sebuah keluarga ramai dengan lapan orang adik-beradik kandung serta dua adik-beradik tiri. Setelah kehilangan ibu kandung, peranan seorang ibu diteruskan dengan penuh keikhlasan oleh ibu tiri yang sentiasa memberikan galakan dalam pendidikan beliau, di samping sokongan berterusan daripada ayah. Di bawah bimbingan Ustaz Syed Firdaus, selaku guru kelas, beliau dibentuk dengan disiplin tarbiah dan ketekunan yang menjadi asas kekuatan dalam perjalanan hafazan. Kejayaan ini menjadi hadiah bakti buat ibu kandung yang telah pergi, ibu tiri yang ikhlas mendidik, ayah yang setia menyokong serta guru yang mencurahkan ilmu dan amanah tarbiah.
Perjalanan Syahadah Ula
Penilaian Syahadah Ula bagi Saudara Haryz Irfan bermula seawal jam 4.30 pagi dan berlangsung sepanjang hari sebelum berakhir pada jam 10.20 malam. Sebagai pengenalan, Syahadah Ula adalah kemuncak ujian yang mana pelajar perlu melepasi “Syahadah Thalith” dan “Syahadah Thani” terlebih dahulu. Penilaian ini menguji ketelitian hafazan, kekuatan murajaah serta ketahanan mental pelajar, dan dilaksanakan di hadapan panel ujian mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Maahad Tahfiz Al-Fateh sendiri.
Kejayaan menamatkan Syahadah Ula ini menandakan satu fasa penting dalam perjalanan hafazan beliau, selain menjadi bukti komitmen dan istiqamah yang berterusan sejak awal pengajian.
Di akhir majlis meraikan kejayaan tamatnya bacaan Syahadah Ula, ayah Haryz iaitu En. Wan Azrizul Azad menyampaikan harapan buat inspirasi semua:
“Moga kejayaan ini jadi hadiah besar buat bonda Haryz yang telah meninggal dunia, juga mudahan terus berjaya dunia akhirat“
Majlis yang juga mendengar amanat daripada beberapa tetamu istimewa termasuk Ts. Dr. Hj. Nazre bin Abdul Rashid, Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah dan Hj. Murtadha bin Mohd Zaham, Setiausaha Masjid Al-Falah Ulu Yam dan Ustaz Ahmad Lutfi bin Paridin, Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Fateh sendiri yang mana semuanya mendoakan kejayaan buat Saudara Haryz dan semua pelajar.
Mengimbangi Hafazan dan Akademik
Selain memberi tumpuan kepada hafazan Al-Quran dan Syahadah Ula, Saudara Haryz Irfan turut mengikuti pengajian subjek-subjek SPM dan sedang membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan SPM pada tahun hadapan. Usaha mengimbangi tuntutan hafazan dan akademik ini selari dengan pendekatan pendidikan Maahad Tahfiz Al-Fateh yang menekankan pembangunan pelajar secara menyeluruh merangkumi ilmu, sahsiah dan kepimpinan.
Harapan dan doa
Maahad Tahfiz Al-Fateh merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Saudara Haryz Irfan bin Wan Azrizul Azad, serta penghargaan kepada para guru dan ibu bapa yang terus menyokong perjalanan pendidikan beliau. Semoga kejayaan ini menjadi saham pahala berterusan dan inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus istiqamah bersama Al-Quran.
Ikuti perkongsian penuh inspirasi bersama kami di: https://www.facebook.com/tahfizalfateh/