Kuala Kubu Bharu, 30 Ogos 2025 – Sehari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-68, Maahad Tahfiz Al-Fateh menganjurkan Temasya Sukan 2025 di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu dengan penuh warna-warni dan semangat kesukanan.
Acara bermula seawal 8.30 pagi dengan perbarisan rasmi pelajar lelaki dan perempuan, diiringi para guru serta sorakan ibu bapa. Suasana meriah ini seakan menjadi pemanas kepada sambutan 31 Ogos – Hari Kebangsaan Malaysia.
Sepanjang temasya, pelbagai acara dipertandingkan: bola tampar, bola takraw, dan badminton untuk pelajar lelaki; manakala bola jaring serta sukaneka untuk pelajar perempuan. Sorakan gemuruh rumah sukan menambahkan lagi kehangatan pertandingan.
Pengetua, Ustaz Ahmad Lutfi, dalam ucapan beliau menegaskan:
Kita niatkan Temasya Sukan hari ini untuk mendapatkan badan yang sihat, cergas, dan ingin bersama pejuang seaqidah kita di Palestin sana
Kemuncak temasya menyaksikan Rumah Merah muncul sebagai juara keseluruhan. Semangat juang dan disiplin tinggi para pelajar bukan sekadar lambang kemenangan di padang, tetapi simbol perjuangan sebuah generasi yang bakal memimpin.
Bagi warga Al-Fateh, Temasya Sukan ini bukan hanya pentas kesukanan. Ia adalah ruang membentuk jiwa merdeka, memperkukuh ukhuwah, mengasah kepimpinan, serta menanam kesedaran ummah — agar generasi muda berdiri teguh bersama Malaysia, dan seiring doa serta solidariti buat saudara kita di Palestin.