Jom Sertai Kempen Dana Al-Fateh!

Syahadah Ula: Pengiktirafan Tertinggi Hafazan al-Quran Berjaya Ditamatkan Pelajar Berusia 16 Tahun Dalam Tempoh tidak sampai 16 jam

BATANG KALI, SELANGOR – Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Tengku Umayr ‘Akef bin Tengku Asyraf, 16 tahun, mencipta pencapaian luar biasa apabila berjaya menamatkan Syahadah Ula, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam hafazan al-Quran di institusi tahfiz, dalam tempoh 15 jam sahaja.

Lebih membanggakan, bacaan beliau memperoleh 97.7%, sekali gus dianugerahkan Mumtaz Ma’a Martabat Syaraf, antara pencapaian tertinggi yang mencerminkan ketepatan hafazan serta kualiti bacaan yang amat cemerlang.

Apa Itu Syahadah Ula?

Syahadah Ula merupakan tahap tertinggi dalam penilaian hafazan al-Quran yang dilaksanakan di institusi tahfiz. Dalam ujian ini, pelajar dikehendaki membaca keseluruhan 30 juzuk al-Quran di hadapan panel pemeriksa dalam tempoh 24 jam atau kurang, dengan jumlah kesalahan yang amat minimum.

Namun, cabaran Syahadah Ula bukan sekadar menguji kekuatan hafazan. Ia turut menguji ketahanan mental, fizikal dan emosi pelajar. Selepas membaca berjam-jam tanpa henti, ramai pelajar akan memasuki fasa keletihan yang melampau. Ketika inilah mereka perlu terus mengekalkan fokus dan ketepatan bacaan walaupun tubuh berada dalam keadaan yang hampir separa sedar akibat berjaga dalam tempoh yang panjang.

Atas sebab itu, Syahadah Ula sering dianggap sebagai antara ujian hafazan paling mencabar yang pernah dilalui oleh seorang huffaz.

Proses Penilaian yang Sangat Ketat

Di Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali, hanya pelajar yang benar-benar bersedia dibenarkan menduduki Syahadah Ula.

Sepanjang ujian berlangsung, pelajar akan membaca kesemua 30 juzuk al-Quran di hadapan panel pemeriksa. Setiap bacaan dinilai secara teliti dari aspek kelancaran hafazan, ketepatan ayat, tajwid dan disiplin bacaan.

Jumlah kesalahan yang dibenarkan adalah sangat sedikit. Justeru, pencapaian markah tinggi menjadi bukti bahawa pelajar bukan sahaja menghafaz, malah benar-benar menguasai keseluruhan al-Quran.

Laluan Sebelum Menduduki Syahadah Ula

Untuk melayakkan diri menduduki Syahadah Ula, seseorang pelajar perlu melalui beberapa peringkat penilaian yang ketat.

Antaranya ialah:

  • Syahadah Thalisah – membaca 10 juzuk sehari selama tiga hari berturut-turut.
  • Syahadah Thaniah – membaca 15 juzuk sehari selama dua hari berturut-turut.
  • Syahadah Ula – membaca keseluruhan 30 juzuk dalam masa 24 jam atau kurang.

Setiap peringkat bertujuan memastikan kekuatan hafazan pelajar benar-benar mantap sebelum layak menduduki ujian tertinggi.

Rekod Kecemerlangan Pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh

Kejayaan Tengku Umayr ‘Akef bukanlah satu-satunya pencapaian membanggakan yang pernah dilakar oleh pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh.

Sebelum ini, Muhammad Hadif bin Mohd Shamir berjaya menamatkan Syahadah Ula dalam tempoh 18 jam 15 minit. Manakala Tengku Umayr pula berjaya menyempurnakan bacaan keseluruhan 30 juzuk secara berdiri dalam tempoh kira-kira 15 jam, sekali gus membuktikan tahap ketahanan fizikal dan mental yang luar biasa.

Melahirkan Generasi Huffaz Berkualiti

Kejayaan pelajar-pelajar ini membuktikan bahawa kejayaan dalam hafazan al-Quran bukanlah sesuatu yang dicapai dalam masa singkat. Ia lahir daripada disiplin yang tinggi, latihan yang konsisten, bimbingan para guru serta doa yang tidak putus daripada ibu bapa.

Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mencintai al-Quran dan berusaha menjadi huffaz yang bukan sahaja kuat hafazannya, malah berakhlak mulia serta mampu memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan negara.

Memetik kalam Murabbi, Ustaz Ahmad Lutfi, pengetua Maahad Tahfiz Al-Fateh, antara yang saya belajar dari beliau adalah :

ليس عليك أن تكون عظيما لتبدأ ولكن عليك أن تبدأ لتكون عظيما 

Kamu tidak perlu menjadi orang yang hebat untuk memulakan sesuatu akan tetapi kamu perlu memulakan sesuatu untuk menjadi orang yang hebat

Semoga Allah memelihara hafazanmu, mengangkat darjatmu dengan al-Quran, menjadikanmu pembela agama, pemimpin umat, dan cahaya buat kedua ibu bapamu di dunia dan di akhirat anakanda Tengku Umayr.

Scroll to Top